Mohd Shafie Apdal
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
DUNGUN - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memperluas cadangan mengambil tenaga pengajar lelaki di Semenanjung Malaysia dalam usaha membantu tenaga pengajar wanita dalam kelas tabika Kemas seluruh negara pada masa akan datang.
  
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu akan diperluas ke Semenanjung Malaysia tidak lama lagi memandangkan hanya terdapat tenaga pengajar lelaki di Sabah dan Sarawak.
  
"Setakat ini hanya terdapat 40 tenaga pengajar lelaki masing-masing 20 orang di Sabah dan Sarawak.
  
"Kita akan perluaskan dan sesiapa (lelaki) yang mahu menawarkan diri dan berkeupayaan, mereka perlu komited kerana ini tabika mengajar kanak-kanak dan semestinya perlukan perhatian khusus," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun hari ini.
  
Majoriti tenaga pengajar Kemas adalah wanita dan terdapat sejumlah 10,966 kelas tabika di seluruh negara dengan pelajar seramai 214,834 di kawasan luar bandar. - Bernama

sumber:  http://www.sinarharian.com.my/nasional/kementerian-cadang-ambil-tenaga-pengajar-lelaki-di-tabika-kemas-1.101117