Friday, June 22, 2012

Kelemahan Prosedur Kaunseling Cara Barat

Nabi Muhammad adalah seorang kaunselor. Apabila beliau memberi kaunseling kepada orang yang melakukan kesalahan, beliau tidak menyiasat punca-punca yang mendorong si pesalah melakukan kesalahannya. Sebagai contoh, kepada pencuri Nabi Muhammad tidak berkata: "Cuba kamu ceritakan kepada saya, mengapa kamu mencuri?"
Dalam rekod sejarah, ada dicatatkan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad memberi kaunseling kepada seorang pesalah:
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.
Teknik kaunseling Nabi Muhammad itu sangat bertentangan dengan kaunseling cara Barat yang menghendaki supaya kaunselor menyiasat dahulu punca-punca si pesalah melakukan kesalahanya. Selepas selesai siasatan barulah kaunselor boleh memulakan proses rawatan.
Di sebalik amalan Barat menyiasat punca-punca kesalahan dilakukan adalah andaian:
a. Bahawa kaunselor dapat mengenalpasti dengan tepat punca-punca si pesalah melakukan kesalahannya.
Andaian ini tidak betul. Memang ada masalah yang dapat diketahui punca-punca yang menyebabkannya, tetapi bagi sesetengah masalah kita tidak dapat mengenalpasti dengan tepat puncanya. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, banyak penyakit yang sehingga sekarang pakar-pakar perubatan masih belum dapat mengetahui apa yang menyebabkan penyakit itu.
Dalam bidang akhlak, ada banyak masalah akhlak yang pakar-pakar psikologi Barat pun masih belum sepakat berkenaan punca-punca yang menyebabkannya. Sebagai contoh adalah tingkah laku anggota keluarga hartawan yang mencuri barang-barang murah di dalam kedai. Pakar-pakar di Barat masih berbeza pendapat, masing-masing dengan teori masing-masing.
b. Bahawa si pesalah bercakap benar semasa memberikan jawapan kepada pertanyaan kaunselor.
Andaian ini tidak betul. Memang ada pesalah yang bercakap benar, tetapi majoriti pesalah tidak bercakap benar. Apabila ditanya oleh kaunselor, mereka memberi jawapan-jawapan dusta. Mereka berdusta bagi menjaga kepentingan diri mereka sendiri, khususnya bagi menunjukkan mereka kononnya adalah orang baik, dan bahawa mereka melakukan kesalahan itu kerana mereka menjadi mangsa perbuatan buruk orang-orang lain.
c. Bahawa hanya selepas diketahui punca-punca yang menyebabkan si pesalah melakukan kesalahannya barulah kaunselor dapat memberikan penyelesaiannya.
Andaian ini tidak betul. Memang ada jenis masalah yang dapat dibuang punca penyebabnya. Sebagai contoh, tayar kempis disebabkan tercucuk paku, lalu cara menyelesaikannya adalah dengan membuang paku itu dan menutup lubangnya. Ataupun, kanak-kanak suka menonton rancangan kartun dalam televisyen sehingga tidak membaca buku sekolah, lalu televisyen itu pun dibuang dengan itu tidak ada lagi televisyen yang mahu ditonton.
Tidak semua punca masalah dapat diselesaikan dengan cara membuang punca-punca itu, ini lebih-lebih lagi dalam bidang tingkah laku manusia. Banyak masalah akhlak manusia sudah pun diketahui punca-punca penyebabnya, namun punca-punca itu tidak dapat dibuang kerana ia adalah fitrah manusia. Sebagai contoh, kes tingkah laku kumpulan remaja yang mencari keseronokan dengan bersaing siapa yang lebih cekap mencuri barang di dalam kedai. Mereka melakukannya kerana mencari thrill. Tingkah laku mencari thrill adalah sebahagian daripada psikologi remaja. Ia adalah penyebab yang tidak dapat hendak dibuang, meskipun oleh pakar-pakar psikologi Barat.

sumber: http://www.psikologihadith.com/search?updated-min=2011-01-01T00:00:00%2B08:00&updated-max=2012-01-01T00:00:00%2B08:00&max-results=50

No comments:

Post a Comment