Showing posts with label Kerjaya dari perspektif Islam. Show all posts
Showing posts with label Kerjaya dari perspektif Islam. Show all posts

Friday, June 15, 2012

Prinsip-Prinsip Motivasi Nabi Muhammad untuk Majikan


Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah berkata: "Apabila seorang hamba menyediakan makanan untuk tuannya, kemudian dia datang dalam keadaan dia sudah merasai kepanasan dan asap bau makanan itu, suruhlah hamba itu duduk bersama tuannya dan makan. Seandainya makanan itu sedikit, maka letaklah makanan di tangannya satu ataupun dua suap. -- Hadith nombor 3150 dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Bukhari
Hadith di atas adalah dalam konteks hubungan antara majikan dan pekerja.
Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad mengiktiraf peranan penting apa yang disebut 'ganjaran material' ke atas motivasi pekerja.
Beberapa prinsip penggunaan ganjaran material sebagai alat mendorong semangat bekerja yang dapat digali dari hadith ini adalah:
1. Objek yang dijadikan ganjaran itu adalah benda yang diingini oleh pekerja.
Sebagai contoh, duit adalah ganjaran yang diingini oleh pekerja. Contoh ganjaran yang mungkin tidak diingini oleh pekerja adalah ganjaran pergi melancong. Si majikan mungkin suka pergi melancong, tetapi pekerja lebih mahukan duit tunai sebab dia mahu membeli kereta.
2. Objek itu adalah objek yang juga disukai oleh majikan.
Duit adalah benda yang diingini oleh pekerja dan juga oleh majikan. Contoh ganjaran yang mungkin tidak disukai oleh majikan adalah memberi kain batik kepada pekerja, sedangkan si majikan sendiri tidak suka memakai kain batik.
3. Ganjaran diberikan serta-merta, tidak ditangguh-tangguhkan.
Sebagai contoh, majikan memberi komisen mingguan ataupun bulanan kepada pekerja, selain gaji.
4. Majikan sendiri yang memberikan ganjaran itu.
Sebagai contoh, majikan yang membuat keputusan mahu menaikkan bonus untuk pekerjanya, bukan kerana terpaksa atas tuntutan dan ugutan pekerja.
5. Ganjaran tetap diberikan kepada pekerja meskipun sedikit.
Ertinya bonus tetap diberikan asalkan sahaja pekerja sudah menjalankan kerjanya dengan baik, tidak dikenakan kriteria-kriteria yang dibuat oleh majikan bagi menyusah-nyusahkan pekerja menerima ganjarannya.
6. Pekerja yang diberikan ganjaran adalah pekerja yang bekerja.
 sumber: http://www.psikologihadith.com/2012/06/teknik-motivasi-nabi-muhammad-untuk.html

Thursday, May 3, 2012

Hukum Wanita Kerjaya Beserta Keputusan Majlis Fiqh Dunia


Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya. 
Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT iaitu :-
للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن
Ertinya : "Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan" ( An-Nisa : 32 )
Nabi SAW pula telah menyebutkan bahawa :-
ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده
Ertinya : "Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri" ( Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)
Disebut juga dalam sebuah hadith dhoif :
من بات كالاًّ من عمل يده بات مغفورًا له
Ertinya : Sesiapa yang tidur dengan keletihan dari kerja tangannya sendiri, ia tidur dalam keadaan diampunkan oleh Allah SWT" ( Riwayat Ibn 'Asakir & At-Tabrani ; Al-Haithami dalam Majma Az-Zawaid : Ramai perawinya tidak aku kenali )
Justeru, bekerja dan mencari nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan aqal bagi menanggung isteri dan keluarganya manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut ( Nizam Al-Usrah, Dr Uqlah Al-Ibrahim, 2/280)
mesejSejarah Wanita Bekerja di Zaman Nabi
Kebanyakan wanita di zaman Nabi dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar rumahnya sahaja. Cuma sebahagian waniat islam adakalanya bertugas di luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan.
Ummu Atiyah sebagai contoh yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati lelaki yang cedera di medan peperangan disamping itu menyediakan makanan buat pejuang-pejuang Islam.
Termasuk juga adalah Rufaydah Al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang mana Nabi SAW menyediakan sebuah khemah khas di masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang Islam yang cedera ketika peperangan 'Khandaq'.
Demikian juga Ar-Rabaiyyi` bint Mu`awwiz and Umm Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi minuman dan makanan kepada pejuang. Ash-Shifa' binti `Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita islam membaca dan menulis di ketika baginda nabi Muhammad SAW masih hidup.
Umm Mihjan pula bertugas sebagai pembantu membersihkan masjid nabi sehingga ketika ia meninggal dunia, nabi tercari-carinya dan diberitahu kemudiannya, ia telah meninggal dunia. Sebagai penghormatan, baginda Nabi SAW pergi di kuburnya lalu menunaikan solat jenazah buatnya.
Selain itu, Khalifah `Umar ibn Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau 'Shariah auditor' di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Shariah.
Semua ini menunjukkan keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu sebagaimana yang disebut oleh Prof. Dr Md Uqlah Al-Ibrahim antaranya ( Nizam Al-Usrah, 2/282 ; Al-Mar'ah Bayna Al-bayt Wal Mujtama', hlm 18) :-
1) Terdapat keperluan : menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga) seperti :-
a- Kematian suami dan memerlukan belanja kehidupan.
b- Memberikan bantuan kepada dua ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya.
c- Membantu bisnes suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos.
d- Mempunyai keistemewaan yang hebat sehinggakan kemahiran ini sangat diperlukan oleh masyarakat umumnya.
2) Mestilah kerja ini bersesuaian dengan fitrah seorang wanita dan kemampuan fizikalnya.
3) Mestilah keluarnya untuk bekejra dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki.
Sebagaimana antara dalil yang menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :-
وَلَمَّا وَرَدَ مَاء مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاء وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Ertinya : "Dan tatkala ia ( Musa a.s) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternaknya dengan terasing dari lelaki).
Musa berkata: ""Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?"" Kedua wanita itu menjawab: ""Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya" (Al-Qasas : 24 )
5)  Mendapat izin wali atau suami.
6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggung jawab di rumah terhadap anak serta suami. (Nazarat Fi Kitab As-Sufur, hlm 84)
7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.
8)  Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecatatan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum.
Sebagai panduan buat suami isteri bekerja, disertakan keputusan majlis Fiqh Sedunia tentang perkara berkaitan.
Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16  bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-
1.       Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri
Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Shariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, samada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara belanjakannya.

2.       Nafkah perkahwinan
Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).

3.       Isteri keluar bekerja
  •  Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.
  •  Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

4.       Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga
  •  Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).
  •  Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri.
  •  Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan merkea termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.
  •  Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut ( seperti pengangkutan dan lain-lain)
5.       Kerja Sebagai Syarat
  •  Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.
  •  Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.
  •  Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.
  •  Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.


6.       Perkongsian isteri dalam pemilikan harta
Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.


7.       Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan
  •  Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberpaa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Shariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'.
  •  Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.
  •  Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.  Tamat terjemahan
Kesimpulan saya
  • Fitrah wanita menuntut perhatian utama mereka untuk suami, anak dan keluarga. Dan silibus kejayaan mereka adalah dalam bidang ini.
  • Wanita dibenarkan bekerja jika keperluan yang disebutkan di atas benar-benar berlaku.
  • Walaupun wanita dibenarkan bekerja, ia tidak bererti suami boleh duduk berehat jaga anak di rumah. Sepatutnya suami perlu meningkatkan kualiti diri untuk lebih kehadapan sehingga boleh menanggung keluarga tanpa bantuan isteri.
  • Suami isteri bekerja adlaah diterima dalam Islam selagi mereka tahu dan bijak merancang pendidikan dan penjagaan anak-anak dan tidak digalakkan isteri berterusan bekerja tanpa sebab-sebab yang mendesak. Sekadar disandarkan oleh perasaan untuk lebih bermewah dan mudah membeli belah (sehingga mengadaikan masa depan anak dan keluarga) dengan menggunakan duit sendiri adalah tidak diterima oleh Islam.
  •  Menurut Syeikh Prof Dr Md 'Uqlah, tugas asasi wanita adalah amat besar iaitu sebagai penentu dan pencipta kerjaya seluruh manusia ( menurut asbab kepada hukum alam ),
  •  Komen saya : ini kerana mereka diberikan kedudukan oleh Islam untuk mencorak segala pemimpin lelaki masa akan datang iaitu dari kecil hingga besar. Malangnya mereka tidak menganggap besar dan mulianya tugasan itu sehingga mereka mencari kerjaya di luar rumah yang menghasilkan sedikit gaji yang dicintainya. Justeru, kembalilah sebagai pencipta kejayaan lelaki dan wanita dari rumah. Ia adalah silibus kejayaan wanita dalam Islam.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
24 Ogos 2007
11 Syaaban 1428 H

Ke arah mensucikan pendapatan

Penipuan Kerap Dalam Perniagaan, Kerjaya,
Universiti & Sekolah : Awasinya
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Soalan
Assalamualaikum wrt wbh,
Al-fadhil ustaz, saya pernah memohon pekerjaan di sebuah syarikat dan syarikat menetapkan jika saya mempunyai sijil, maka gaji minimum yang akan saya terima adalah sebanyak RM xxxx, jika saya mempunyai pengalaman tapi tidak punyai sijil, gaji minimum bermula dari RM xxx , sekiranya saya tidak punyai kedua-duanya, gaji bermula dengan RM xxx.
Sya tiada sijil, tapi bolehkah saya meletakkan dalam resume saya pengalaman-pengalaman yang tidak pernah saya perolehi demi untuk memulakan kerja dengan gaji yang tinggi sedikit?.
Satu lagi, ada rakan-rakan saya yang membeli sijil-sijil sarjana muda dari ejen-ejen tertentu. Ia sememangnya keihatan asli, adakah ianyaa dibenarkan?
Al-Hulu
PHD?
Jawapan
Saya kira jawapannya adalah cukup mudah untuk dijawab bagi pembaca web saya ini. Sudah tentu ia diharamkan oleh Islam kerana apa yang dilakukan adalah termasuk dalam bab penipuan.
Bentuk penipuan sememangnya amat banyak. Sebagai asas pengharaman Allah SWT berfirman :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu" ( An-Nisa : 29)
Harta yang diperolehi dari aktiviti penipuan adalah haram. Islam mengharamkan seluruh bentuk penipuan, baik dalam masalah jual-beli, mahupun dalam pelbagai jenis macam mu'amalah.
Seorang muslim dituntut untuk berlaku jujur dalam seluruh urusannya, Sebab keikhlasan dalam beragama, nilainya lebih tinggi daripada seluruh usaha duniawi.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Dua orang yang sedang melakukan jual-beli dibolehkan tawar-menawar selama belum berpisah; jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri dagangannya), maka mereka akan diberi barakah dalam perdagangannya itu; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri dagangannya), barakah dagangannya itu akan dihapus." (Riwayat Bukhari)
Dan baginda juga bersabda:
"Tidak halal seseorang menjual suatu perdagangan, melainkan dia harus menjelaskan ciri perdagangannya itu; dan tidak halal seseorang yang mengetahuinya, melainkan dia harus menjelaskannya." (Riwayat Hakim dan Baihaqi)
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! Sebab barangsiapa menipu kami, bukanlah dari golongan kami." (Riwayat Muslim, 1/99)
Antara penipuan dalam bentuk semasa adalah seperti berikut :-
1) Mengupah dan berpakat dengan rakan untuk membeli dan memuji barangan jualan sendiri di hadapan pelanggan, dengan niat untuk mempengaruhinya dan meyakinkan kebaikan barang yang dijual. Ia disebutkan pengharamannya di dalam hadis Nabi SAW :-
ولا تَنَاجَشُوا
Ertinya : dan janganlah kamu melakukan tipu helah naik harga jenis ‘najash'" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/752)
Menurut penafsiran Ibnu Abbas ‘Najash'  adalah : "Engkau (berpakat) bayar harga barang itu lebih dari harga biasa, yang bukan sebenarnya, tetapi dengan tujuan supaya orang lain menirunya." Cara ini banyak digunakan untuk menipu orang lain. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)
2)  Membeli sijil universiti bagi menunjukkan diri berkelayakan tetapi sebenarnya hanya penipuan. Ada juga yang membeli gelaran ‘Dr' dan ‘Profesor' bagi mendapatkan keistimewaan dan kemulian tertentu di dalam masyarakat. Ia juga adalah haram secara sepakat ulama  sudah tentu disebabkan 'penipuan'.
Adakah ia tulen, halal diperolehi & digunakan?
3) Mencipta jawatan-jawatan terentu di dalam ‘resume' bagi menunjukkan kononnya diri berpengalaman. Ada juga yang mereka cipta gelaran 'Dr' untuk melakukan lagi kursus motivasi dan diri masing-masing bagi menaikkan dirinya di mata pelanggan. Berfungsi sebagai motivator, kosultan dan 'pakar' tetapi hakikatnya  inilah manusia yang tiada keyakinan diri, terpaksa bergantung kepada penipuan untuk terus hidup dan laku. 
4)  Mencipta dan meminda slip-slip gaji sendiri bertujuan untuk mendapat gaji yang diinginkan dari majikan baru.
5)  Meminta orang lain membuatkan karangan atau apa juga tulisan yang diperlukan untuk mendapatkan sesuatu kerja. Ia satu penipuan kerana syarikat ingin melihat kemampuan sebenar kita dan bukannya orang lain. Ramai yang suka melakukan tindakan ini, lebih malang lagi, agak ramai cerdik pandai memberikan bantuan kepada orang sebegini sedangkan ia adalah satu tindakan yang diharamkan oleh Islam kerana ia termasuk kategori membantu sesuatu penipuan. Lama kelamaan, rakan yang dibantu akan sentiasa mundur dan tidak berkembang kerana asyik mengharapkan kita membantunya.
Pendidikan, kerjaya & syubhah
 
Saya faham, bahawa adakalanya sukar untuk menolak kerana yang meminta bantuan adalah rakan baik kita atau adik beradik kita, tapi sedarlah tiada alasan untuk membantu penipuan ini. Jika yang dibantu itu berjaya kelak, pihak majikan merasa kecewa dan tetipu kerana prestasinya tidak sebagaimana tulisannya.
6) Mengupah orang untuk menyiapkan tesis MA atau Phd untuk kita. Ia juga satu bentuk penipuan yang memberikan kesan kepada seluruh pendapatan hasil penipuan itu. Selain orang yang mengupah, orang yang bersedia untuk diupah dan menjalankan khidmat ‘tolong buat' ini juga dikira menipu dan pendapatannya adalah haram kerana membantu kepada perbuataan dosa.
Sepatutnya melambangkan kecekapan minda dan kajian
7) Bagi para pensyarah universiti pula, meniru karya orang lain dalam kajian ilmiah tanpa menyebut nama dan buku rujukan adlaah satu jenis penipuan. Ia tidak dianggap satu penipuan jika ditulis oleh orang awam biasa kerana ia tidak bertujuan mendapat pengiktirafan akademik. Walaubagaimanapun penulisan oleh ahli akademik pada lazimnya dinilai sebagai satu bentuk 'prestasi peribadi' oleh pihak universiti, ia juga membolehkannya mendapat kenaikan pangkat serta gaji setelah mendapat merit tertentu dari ‘hasil kajian' mendalamnya. Justeru, jika hasil ini adalah hasil ciplak yang dibuat secara pintar serta berpura-pura kononnya itu adalah hasil buah fikriannya yang bijak sedangkan ia bukan darinya, ia juga adalah suatu penipuan yang diharamkan.
8) Mencipta testimoni yang mengakui kehebatan program yang dikendalikan atau barang yang dijual, sedangkan ia hanyalah rekaaan sendiri sahaja. Mungkin ramai akan terpengaruh hasil testimoni yang begitu hebat tadi padahal ianya hanyalah tiruan. Ketika itu, perniagaan orang ini menjadi hilang berkat dan haram pendapatannya.
9) Membodek para pensyarah universiti agar memberikan markah ‘kasihan' untuk lulus. Jika terdapat sebab musabbab yang utuh untuk pemberian markah maka ia mungkin menjadi harus dan halal, walaubagaimanapun tetapi jika ia diberikan tanpa hak dan justifikasi yang boleh diterima Islam. Para pensyarah ini bakal menanggung tanggungjawab besar di akhirat kelak. Ini kerana, sijil yang dimiliki dianggap mewakili tahap kecekapan ilmu, kemampuan kajian dan minda seseorang dalam sesuatu bidang khususnya, jika pencapaian sijil itu dilakukan dengan ‘soalan bocor', ‘curi soalan' dan markah tanpa hak. Maka ia tidak layak memegang sijil itu, jika ia perolehi sijil itu. Semua orang kelilingnya akan tertipu dengan sijilnya itu, ia juga mungkin menyesatkan orang dengan sijilnya tadi. Awas.
10) Pensyarah yang membocorkan soalan dengan sengaja. Menurut kefahaman saya, ujian dan peperiksaan adalah sebuah ujian kemampuan pelajar dan ujian juga buat pensyarah yang mengajar, iaitu untuk melihat sejauh mana keberkesanan pengajarannya. Oleh itu, tidak dinafikan terdapat pensyarah yang bimbang peratusan gagal di kelas bimbingannya terlalu teruk, maka ia memberikan ‘soalan bocor' , dengan itu, tahap lulus akan meningkat dan bolehlah kelihatan dirinya sebagai pandai mengajar. Ia juga satu bentuk penipuan yang banayak berlaku samada di univeristi mahupun di sekolah. Semuanya adalah haram tanpa syak lagi.
11) Mencipta statistic palsu untuk menyokong kajian dan dakwaan yang dibuat, Jika ia digunakan untuk sebarang tujuan komersial dengan upah profesional, ia adalah pendapatan haram. Jika ia dilakukan untuk menarik kepercayaan orang kepada apa yang diungkapkan, ia juga adalah satu penipuan. Saya kerap mendengar, para motivator berkata : "Menurut kajian saya, begini...." Kita berharap ia adalah kajian sebenar dan bukan satu dua kes yang dijumpainya.
Ibnu Sirin pernah menjual seekor kambing, kemudian dia berkata kepada si pembelinya: 'Saya akan menjelaskan kepadamu tentang ciri kambingku ini, iaitu kakinya cacat.'
Begitu juga al-Hassan bin Shaleh pernah menjual seorang hamba perempuan (jariyah), kemudian ia berkata kepada si pembelinya: "Dia pernah mengeluarkan darah dari hidungnya satu kali."
Walaupun hanya sekali, tetapi 'jiwa seorang mu'min merasa tidak enak kalau tidak menyebutkan cacatnya itu, sekalipun berakibat menurunnya harga.
Justeru, eloklah kita berfikir kembali pendapatan kita, samada ia halal atau haram. Kerjaya kita samada ia datang dengan sijil dan jawatan palsu atau benar. 
Ke Kubur Juga Akhirnya
Kekayaan, pangkat dan kebesaran yang dikecapi adalah sementara sahaja, amat jaranag kenikmatan semenatar ini mampu dikecapi melebihi 60 tahun. Justeru, mengapakah kita masih lagi terlalu ghairah untuk mengumpulkannya tanpa mengira haramnya. Malangnya diri yang terlupa kematiannya penamat segala kenikmatan dunia.  Justeru carilah harta dari yang HALAL sahaja.
Nabi SAW bersabda :-
أكثروا ذكر هاذم اللذات الموت
Ertinya : "Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT" ( At-Tirmidzi, 4/553 ; Ibn Hibban, 7/259 ; Imam Tirmidzi : Hadith Hasan Ghorib)
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
5 Jumada Akhir 1427 H
20 Jun 2007
 

Sunday, April 29, 2012

Kerjaya jadi ibadah jika ikut Islam

SEGELINTIR masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.
Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.
Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.



Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.
Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.
Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.
Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.
Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.
Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.
Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.
Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.
Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.
Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.
Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.
Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.


sumber: http://www.islamituindah.my/kerjaya-jadi-ibadah-jika-ikut-islam