Friday, June 22, 2012

Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Menyiasat Siapa Pasangan Pesalah Seksual

Banyak jenis jenayah dan kesalahan yang perlu dilakukan oleh dua orang ataupun lebih, yakni kalau seorang sahaja maka kesalahan itu tidak dapat dilaksanakan. Kesalahan mengumpat dan kesalahan seksual adalah contoh di mana 2 orang ataupun lebih terlibat melakukannya.

Salah satu jenis kesalahan yang terdapat dalam rekod-rekod sejarah Nabi Muhammad di mana kita dapat gali strategi dan teknik bagaimana beliau mengubah tingkah laku mereka yang akhlaknya buruk adalah dalam kes-kes jenayah seksual.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak bertanya kepada pemuda itu dengan tujuan mahu menyiasat siapa perempuan yang dicumbuinya. Malah Nabi Muhammad tidak bertanya sebarang soalan bagi mengetahui latar belakang kesalahan itu, seperti:

* "Siapa nama perempuan itu?"
* "Dia anak darakah?"
* "Dia isteri orangkah?"
* "Dia jandakah?"
* "Suaminya tidak ada di rumahkah?"
* "Di mana kamu bercumbu-cumbu itu?"
* "Cuba cakap, macam mana boleh berlaku perkara macam itu?"
* "Diakah yang datang mencari kamu?"
* "Kamu masuk ke dalam rumahnyakah?"
* "Bila kamu melakukannya -- siang ataupun malam?"
* "Kamu sudah biasakah bercumbu dengan dia?"
* "Dengan siapa-siapa lagi kamu pernah bercumbu-cumbu?"

Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad, beliau terus menerangkan kepada pesalah itu cara membersihkan dirinya daripada dosa. Ini beliau lakukan dengan membacakan ayat dalam al-Quran yang relevan dengan keperluan pemuda itu.


 sumber:  http://www.psikologihadith.com/search?updated-min=2011-01-01T00:00:00%2B08:00&updated-max=2012-01-01T00:00:00%2B08:00&max-results=50


No comments:

Post a Comment