Friday, June 22, 2012

Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Menyalahkan Pelaku Dosa Berat

Dalam amalan lazim, kita selalu menyalahkan orang-orang yang melakukan dosa-dosa berat. Aspek-aspek berkenaan si pedosa yang lazimnya kita persalahkan adalah:
a. Didikan yang diterimanya tidak betul
b. Ibu bapanya tidak betul
c. Imannya lemah
d. Kelulusannya tidak berguna
e. Dia bodoh agama
f. Dia tidak berfikir panjang
g. Dia tidak tahu malu
h. Dia gagal mengawal nafsunya
i. Sikapnya tidak betul
j. Perangainya buruk


Amalan mempersalahkan pedosa tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad apabila beliau memberi kaunseling kepada orang yang pernah melakukan dosa berat.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sama sekali tidak menyalahkan si pedosa. Sebaliknya beliau memberikan penyelesaian semata-mata, yakni bagaimana dosa-dosa itu dapat dihapuskan.


Kata-kata seperti di bawah ini menunjukkan sikap menyalahkan si pedosa:

* "Kamu sudah tahu benda itu salah, tetapi kenapa kamu lakukan juga?"
* "Takkanlah kamu tidak tahu perkara itu salah?"
* "Kenapa kamu tidak kawal nafsu kamu?"
* "Apa gunakan kamu sembahyang kalau masih buat maksiat?"
* "Kamu tak patut buat begitu."

* "Lemahnya iman kamu."
* "Apa gunanya kamu berilmu kalau ilmu kamu tidak dapat menegah kamu daripada melakukan maksiat?"
* "Masalah kamu ini, kamu cuma ada ilmu tetapi tidak ada iman."


sumber:  http://www.psikologihadith.com/2011/10/sebagai-kaunselor-nabi-muhammad-tidak.html

No comments:

Post a Comment