Friday, June 22, 2012

Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Menasihati Orang yang Melakukan Dosa Berat Supaya Insaf dan Bertaubat

Nabi Muhammad adalah seorang kaunselor dan sekaligus pendorong perubahan sikap dan tingkah laku.

Banyak orang yang sikap dan tingkah lakunya buruk telah berubah menjadi baik dan cemerlang selepas pergi berjumpa beliau dan mendengar kata-kata yang beliau ucapkan kepada mereka.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Dalam peristiwa di atas, meskipun pemuda itu telah mengaku bahawa dia pernah melakukan dosa yang berat, tetapi Nabi Muhammad tidak menyuruh dia supaya insaf, menyesal ataupun bertaubat.

Nabi Muhammad hanya membacakan sepotong ayat dalam al-Quran yang relevan dengan keperluan spiritual pemuda itu dan pada saat yang sama dapat menyelesaikan masalah emosi yang beliau sedang tanggung.

sumber: http://www.psikologihadith.com/search?updated-min=2011-01-01T00:00:00%2B08:00&updated-max=2012-01-01T00:00:00%2B08:00&max-results=50

No comments:

Post a Comment