Nabi Muhammad adalah seorang ketua kumpulan yang mempunyai beribu-ribu anggota. Banyak anggota kumpulan beliau yang terdiri daripada individu-individu yang lemah imannya, kurang elok akhlaknya, dan cetek ilmunya.
Malah banyak orang yang masuk kumpulan beliau adalah mereka yang masih melakukan pelbagai jenayah dan maksiat kerana beliau mengamalkan dasar pintu terbuka dan tanpa pilih kasih. Jadi, sesiapa sahaja yang mahu masuk menjadi anggota kumpulannya, semuanya beliau terima dengan tanpa apa-apa syarat.
Selepas mereka menjadi ahli kumpulan, sebagai ketua barulah Nabi Muhammad menjalankan tugas mendorong mereka yang masih melakukan maksiat itu supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka sehingga akhirnya mereka menjadi anggota yang cemerlang.
Salah satu strategi yang Nabi Muhammad gunakan bagi mendorong pelaku maksiat supaya menghentikan perbuatannya adalah dengan tidak mengkritik, memarahi ataupun menasihati orang itu supaya insaf dan bertaubat.
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh orang supaya memanggil lelaki itu datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang kebetulan berada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad hanya memberitahu secara objektif bagaimana cara yang lelaki pemaksiat itu dapat lakukan bagi tujuan membasuh dosa-dosanya. Itu sahaja.
sumber: http://www.psikologihadith.com/search?updated-min=2011-01-01T00:00:00%2B08:00&updated-max=2012-01-01T00:00:00%2B08:00&max-results=50
No comments:
Post a Comment